Tuesday, 31 July 2012

Tomato vs tomato la.....









TOMATO buah berwarna merah dan boleh dimakan mentah. Namun, bukan semua
orang menggemarinya! Tahukah anda tomato mengandungi pelbagai khasiat
tersendiri, termasuk membantu mencegah penyakit berbahaya?

Warna merah itu ialah disebabkan likopena, iaitu karotenoid atau sebatian
semula jadi yang memberikan warna merah kepada tomato dan pelbagai khasiat
kebaikan antioksidan semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Selain mempunyai kebaikan antioksidan, makanan yang mengandungi likopena
itu juga boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan penyakit
jantung.Hasil kajian pakar penyelidik asing mendapati bahawa kandungan
likopena begitu tinggi dalam pes tomato, sos tomato dan jus tomato.

Perunding Pemakanan di Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw John,
berkata cara terbaik bagi menambah jumlah likopena di dalam badan manusia
adalah melalui pengambilan makanan berasaskan tomato dan produk masakan
yang diperbuat daripada bahan itu.

Beliau berkata, berdasarkan kajian saintifik, likopena dapat membantu
mencegah penyakit tertentu seperti kanser prostat, kanser paru-paru dan
kanser perut. Likopena juga dapat membantu mengurangkan paras kolesterol
LDL (kolesterol jahat) dan sekali gus mengawal tekanan darah supaya stabil,
katanya pada ceramah kesihatan The Red Campaign di ibu negara, baru-baru
ini. Kempen itu dianjurkan oleh syarikat makanan global, Heinz, yang
mengeluarkan sos tomato, perasa dan pelbagai aneka sos.

Mary berkata, sumber terbaik untuk mendapatkan likopena ialah dari sos
spagheti, jus tomato, tembikai, pes tomato, sup tomato, cili sos dan sos
koktel. Beliau berkata, kira-kira 80 peratus likopena terkandung di dalam
produk tomato dan buah tomato tetapi hakikatnya, tomato yang sudah dimasak
mengandungi likopena yang lebih tinggi.

Ini kerana, katanya, proses memasak akan memecahkan dinding sel tomato yang
sekali gus membenarkan tubuh manusia menyerap likopena. Bagaimanapun,
beliau berkata, sebaik-baiknya pastikan anda tidak menggunakan minyak dan
lemak yang berlebihan ketika memasak untuk memastikan keberkesanan
penyerapan likopena.


  Antara kelebihan dan kebaikan tomato ialah.... 


 Baik Untuk Kencing Manis

Kandungan Karbohidrat dalam tomato sangat rendah maka ia baik untuk pesakit
diabetes. Tomato dikatakan sangat berkesan dalam mengawal peratusan gula di
dalam air kencing pesakit diabetes.

Baik Untuk Mata

Kiranya selama ini kita dengar lobak merah dan berry baik untuk mata,
tomato juga baik untuk mata sebenarnya. Kerana kaya dengan vitamin A,
tomato amat bermanfaat untuk kesihatan mata khasya rabun malam dan rabun
jauh serta penyakit-penyakit mata lain akibat kekurangan vitamin. Daun
tomato pula berguna untuk merawat saraf optik dan lemah mata. Ambil
segenggam daun tomato yang baru dipetik. Bilas dan rendam selama 15 minit
dalam air panas (tidak terlalu panas) di dalam bekas tertutup. Sejatkan.
Air ini merupakan tonik untuk mata dan saraf optik. Hendaklah dimakan
sesudu teh sebelum mengambil sajian utama 3 kali sehari.

Baik Untuk Obesiti

Tomato sangat berguna dalam rawatan obesiti. Makanlah satu atau dua biji
tomato ranum pada awal pagi tanpa sarapan selama 2 bulan. Ini dianggap
kaedah selamat untuk pengurangan berat badan. Pada waktu yang sama, ia
membekalkan elemen-elemen makanan penting untuk mengekalkan kesihatan.

Baik Untuk Gangguan Usus dan Hati

Minum segelas penuh jus tomato segar. Campur dengan secubit garam dan lada
sulah. Diminum pada awal pagi. Ia petua berkesan untuk mengurangkan mabuk
wanita mengandung, merawat masalah berkaitan hempedu dan hati serta
jaundis. Juga berkesan merawat masalah penghadaman, angin dalam usus dan
sembelit.

Baik Untuk Gangguan Pernafasan

Sebelum tidur, telan tiga ulas bawang putih. Kemudian minum segelas penuh
jus tomato segar dicamputkan madu dan secubit serbuk pelaga. Ini merupakan
petua berkesan merawat TB dan jangkitan paru-paru. Ia meningkatkan
pertahanan tubuh dan menghalang penolakan serta percampuran ubat-ubatan
yang sering berlaku pada pesakit TB. Bagi pesakit lelah, rawatan ini
melegakan rasa sesak di dalam bronkiol dan pengeluaran mukus (lendir)
melampau serta kejang.

Baik Untuk Ibu yang Menyusu

Ibu yang menyusukan bayi digalakkan makan tomato. Memakan produk berasaskan
tomato (atau tomato yang dimasak) boleh meningkatkan kandungan likopena di
dalam susu ibu. Ini tentunya baik untuk kesihatan bayi.

         Tip Memilih TOMATO.......    

Untuk yang paling berkhasiat, pilihlah tomato yang paling merah ranum.

Untuk yang lebih sedap pula, rendamkan beberapa biji tomato di dalam air.
Yang tenggelam itu lebih sedap berbanding yang terapung. Ini kerana yang
tenggelam itu mengandungi lebih banyak kandungan gula.


        TOMATO juga......................     

Mengecilkan liang roma

Campurkan satu sudu jus tomato segar dengan dua hingga empat titik jus limau. Sapukan bahan tersebut menggunakan kapas pada kulit wajah dan urut perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air suam untuk mengecilkan lagi liang roma, selepas itu sapukan pelembap muka.

 Merawat Jerawat

Hancurkan tomato segar dan sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat hilang.


Membersihkan kulit muka


Topeng muka menggunakan campuran tomato dan avokado amat sesuai untuk kulit kombinasi (berminyak, biasa dan kering) kerana ia menggabungkan astringen dan antiseptik yang boleh mengurangkan kandungan minyak serta noda hitam pada kulit.

Topeng penyegar muka ini kaya dengan vitamin A, C dan E - kesemuanya penting untuk kulit yang sihat. Untuk membuat topeng muka ini, hancurkan tomato dan avokado dalam mangkuk dan sapukan pada muka, bilas selepas 20 ke 30 minit.

Boleh juga sapukan campurkan jus tomato segar dengan jus timun pada kulit muka untuk mengawal minyak and jerawat.


Menyejukkan kulit yang rosak


Kisar sebiji tomato dan campurkan dua sudu yogurt. Sapu bahan tersebut pada kulit muka dan biarkan selama 20 minit. Bilas dengan air suam.

Gabungan tomato dan yogurt mampu menyejukkan kulit dan mengurangkan kesan kesakitan termasuk akibat selaran matahari dan kerengsaan kulit.

Ini kerana yogurt merangsang protein pada kulit dan menjadikannya lembut manakala tomato menyejuk dan meneutralkan permukaan kulit.